Selasa, 25 Oktober 2011

AMARAN DAN NASIHAT RASULULLAH S.A.W. SEBELUM WAFAT


Ali bin Abi Talin r.a. berkata: "Setelah turun Surah Idza ja'anashrullahi wal fath, baginda Rasulullah SAW ketika itu sedang sakit, dalam sakit itu baginda Rasulullah SAW keluar dengan kepala yang diikat iaitu pada hari Khamis, beliau memasuki masjid lalu naik ke atas mimbar dan beliau duduk di atas mimbar.

     Muka baginda Rasulullah SAW yang pucat dan dengan mata yang mengalirkan air mata, baginda Rasulullah SAW pun memanggil Bilal bin Rabah dan menyuruh Bilal berseru di Madinah bagi mengumpulkan orang ramai bagi mendengar wasiat baginda Rasulullah SAW yang terakhir.

     Apabila Bilal melaksanakan seperti yang diperintahkan oleh baginda SAW, maka berkumpul lah semua penduduk Kota Makkah yang terdiri dari budak-budak, orang dewasa lelaki dan perempuan. Kesemua mereka keluar dengan terbuka dan begitu juga dengan pasar menjadi kosong. Bersesaklah masjid sehingga penuh. Kemudian baginda Rasulullah SAW berkata kepada para jemaah: "Berilah peluang kepada orang-orang yang di belakang supaya masuk ke dalam."

     Setelah itu baginda Rasulullah SAW pun bangun berdiri sambil menangis beliau mengucap: "Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un." Baginda Rasulullah SAW bersyukur kepada Allah SWT sebagaimana lazimnya dan membaca selawat utk semua nabi dan diri baginda sendiri.

     Selepas itu baginda SAW pun bersabda : "Sesungguhnya aku Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim dari bangsa Arab Makkah dan tiada nabi sesudah aku, wahai semua manusia dengarlah bahawasanya diriku telah diberitakan akan mati, dan telah terlalu dekat akan meninggalkan dunia ini, dan aku juga telah rindu kepada Tuhanku, dan sedihnya aku meninggalkan umatku. Apakah yang akan mereka katakan pula sepeninggalanku, Ya Allah selamatkan,selamatkan."

     Sabda baginda Rasulullah SAW : "Wahai sekalian manusia dengarlah wasiat terakhirku kepada kamu semua dan ingat-ingatlah serta sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir kerana ini adalah wasiatku yang terakhir. Wahai manusia, Allah SWT telah menjelaskan kepada kamu semua dalam kitab al-Quran yang diturunkannya tentang yang halal dan yang haram, yang harus kamu semua lakukan dan yang harus kamu semua tinggalkan, oleh itu hendaklah kamu semua gunakan yang halal dan tinggalkan yang sama sekali haram dan percayalah pada yang musyabih dan lakukalah yang muhkam (tegas) dan jadikan ia sebagai peringatanmu yang berupa contoh-contoh itu."

     Setelah itu Rasulullah SAW memandang ke langit sambil berkata : "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menyampaikan maka saksikanlah."

     Bersabda Rasulullah SAW lagi : "Wahai manusia awaslah kamu dari hawa nafsu yang sesat yang menyesatkan yang jauh dari tuntutan rahmat Allah SWT dan syurga bahkan ianya dekat kepada neraka. Oleh itu hendaklah kamu semua menjaga jama'ah (kumpulan) dan hendaklah istiqamah (tetap jujur dan lurus) kerana ini akan mendekatkan diri kepada Allah dan syurga dan yang menjauhkan dari api neraka. Sabda baginda SAW lagi : "Ya Allah, aku telah menyampaikan. Wahai manusia, takutlah kamu kepada Allah, takutlah kamu kepada Allah dalam menjaga agama dan amanat yang telah diamanatkan kepada kamu. Takutlah kepada Allah. Takutlah kepada Allah dalam memelihara hamba-hambamu, hendaklah kamu memberi mereka makan dari apa yang kamu makan, begitu juga dengan pakaian, hendaklah kamu memberi mereka pakaian dari apa yang kamu pakai dan janganlah kamu memaksa mereka melakukan sesuatuyang mereka tidak kuat untuk melakukan, kerana mereka itu juga dijadikan dari daging dan darah, yakni makhluk yang sama dengan kamu. Dan ingatlah mereka yang aniaya pada mereka (hamba-hambamu) maka akulah lawannya pada hari Kiamat nanti dan Allah SAW hakimnya."

     Baginda SAW menyambung lagi : "Takutlah kamu kepada kepada Allah dalam memelihara isteri, tepatilah mahar yang telah kamu janjikan pada mereka dan jangan menganiaya mereka, nescaya kamu akan diharamkan dari hasanat-hasanatmu pada hari Kiamat. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia hendaklah kamu menjaga dirimu dann keluargamu dari api neraka, dan hendaklah kamu mengajar mereka akhlak sopan santun, sebab mereka itu adalah bagai orang tawananmu dan amanat. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia patuhlah pada pemerintahmu dan jangan menentang mereka meskipun dari keturunan Habasyi yang terpotong hidungnya, sebab yang patuh pada amir itu beerti taat kepadaku, dan sesiapa yang taat kepadaku beerti taat kepada Allah, dan sesiapa yang menentang mereka beerti menentang aku, dan mereka yang menentang aku beerti maksiat kepada Allah. Ingatlah jangan keluar dari mereka, dan jangan memutuskan janji-janjimu pada mereka, ingatlah saya telah menyampaikan."

     Rasulullah SAW menyambung lagi : "Wahai manusia, hendaklah kamu cinta kepada keluargaku, ahli-ahli Qur'an dan para ulama-ulamamu, jangan sekali-kali kamu membenci atau hasad dengki pada mereka, jangan kamu menghina mereka, ingatlah sesiapa yang cinta pada mereka beerti cinta kepadaku dan sesiapa cinta kepadaku, maka Allah cinta kepadanya, dan sesiapa yang membenci pada mereka bererti membenci padaku, dan sesiapa yang benci padaku maka benci pada Allah. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia jagalah solat lima waktu dengan menyempurnakan wudhunya dan menyempurnakan ruku', sujudnya. Wahai manusia keluarkanlah zakat hartamu, ingatlah sesiapa yang tidak mahu mengeluarkan zakat maka tidak dikira (anggap) solatnya, dan siapa yang tidak dikira (anggap) solatnya, maka dia tidak beragama, dan tidak dikira puasa dan hajinya dan juga jihadnya. Ya Allah saya telah menyampaikan."

     Sabda Rasulullah SAW lagi : Wahai manusia sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan haji keatas orang yang berkuasa perjalanannya dan sesiapa yang tidak mahu melaksanakannya maka bolehlah dia pilih apakah dia akan mati seperti Yahudi atau Nasrani atau Majusi kecuali yang uzur kerana penyakit atau kerana raja yang zalim. Ingatlah bahawa mereka tidak akan mendapat syafaatku dan tidak akan minum dari telagaku. Ingatlah sayan telah menyampaikan. Wahai manusia sesungguhnya Allah SWT akan mengumpulkan kamu semua pada hari Kiamat disuatu lapangan dalam kedudukan yang sangat berat, mengerikan, pada hari yang tidak berguna harta atau anak buah, kecuali orang yang menghadap kepada Allah dengan hati yang suci bersih dari syirik, ingatlah saya telah menyampaikan."

     Rasulullah SAW bersabda lagi : "Wahai manusia, jagalah lidah kamu, keluarkan airmata kamu, tundukkan hatimu dan letihkanlah badanmu serta berjihadlah melawan musuhmu, makmurkanlah masjidmu dan ikhlaskan imanmu. Nasihatlah teman-temanmu, berbuatlah kebaikan untuk dirimu dan jagalah kemaluanmu, bersedekahlah dari hartamu, jangan hasut-menghasut nescaya akan hilang hasanatmu (pahala), jangan ghibah (mengumpat) nescaya binasa kamu. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia berusahalah kamu dalam memerdekakan budak-budakmu (hamba-hamba), dan berbuatlah kebaikan untuk kekuranganmu dan hajatmu. Wahai manusia jangan menganiaya, sebab Allah sendiri yang akan menuntut terhadap siapa yang menganiaya, dan kamu juga yang akan menanggung perhitunganmu dan kepada Allah kamu akan kembali, Allah tidak rela jika kamu melakukan maksiat. Wahai manusia sesungguhnya sesiapa yang berbuat kebaikan maka untungnya itu adalah untuknya sendiri, dan sekiranya sesiapa melakukan kejahatan maka kejahatan itu akan ditanggungnya sendiri dan Allah tidak akan menganiaya pada hamba-hambaNya, oleh itu jagalah dirimu dan hari dimana kamu dihadapkan kepada Allah, dimana setiap orang akan dibalas atas segala amal usahanya dan mereka tidak akan dianiaya.

     Akhir sekali baginda Rasulullah SAW bersabda : "Wahai manusia sesungguhnya aku akan menghadap Allah SWT dan aku telah diberitahu akan kedatangan kematianku, maka aku serahkan kamu semua kepada Allah iaitu agama dan amanatmu. Wassalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh."

     Setelah selesai sabdaan baginda maka baginda SAW pun turun dari mimbar dan terus masuk kedalam rumah dan tidak keluar lagi selepas itu.

Wallahu A'lam

(Di adaptasi dari penulis Salman Al-Farisi)
*************************************************************************

           Dalam kisah ini dapatlah kita mengkaji dan meneliti sebab-sebab mengapa Rasulullah SAW begitu mengambil berat masalah umat baginda, sebabnya baginda SAW adalah seorang nabi dan rasul yang tidak menyayangi diri sendiri tetapi beliau sayangi semua umat beliau, dan perjuangan Rasulullah SAW adalah semata-mata untuk membawa umat beliau semua kesyurga Allah.

           Cuba kita lihat kasih sayang seorang ibu atau bapa dengan kasih sayang Rasulullah SAW dengan kita. Apabila seorang ibu atau bapa menyayangi anak-anak mereka maka mereka akan membeli apa sahaja barang yang diminta oleh anak-anak mereka, tetapi dalam hal kasih sayang antara anak dan ibu bapa ada batasnya, apabila seseorang ibu atau bapanya itu berasa gembira dengan pencapaian anaknya dalam bidang pelajaran dan tidak mahu mengajar anaknya itu dengan pendidikan Islam maka ianya bukan dikatakan seorang ibu atau bapa itu sayang kepada anaknya.

            Sebabnya yang akan menjaminkan anak itu mendapat kejayaan di dunia dan akhirat adalah dengan mengajar anak itu dekatkan kepada Allah, kalau anak itu cuma dididik dengan mempelajari pelajaran lain maka anak itu cuma dididik dengan mempelajari pelajaran lain maka anak itu akan jadi pandai dalam hal itu dan tidak tahu langsung tentang agama. Apabila ini berlaku maka inilah yang dikatakan seorang ibu atau bapa itu cuma sayang anak itu kerana dia menjadi pintar dalam bidang yang dipelajarinya.

           Dalam masa itu haruslah seorang ibu atau atau bapa itu sedar bahawa anak yang mereka tidak didik dengan cara Islam sebenarnya mereka tidak sayang kepada anak itu, seorang ibu atau bapa hanya dikatakan sayang kepada anaknnya apabila dia memelihara anak itu mengenal Allah dan rasul serta mendekatkan diri pada Allah, sebab yang dikatakan demikian adalah kerana Allah SWT telah terangkan kepada kita bahawa kita akan dibangkitkan kembali ke satu alam yang disebut alam Akhirat dimana di sana kita akan disoal satu demi satu, dan mereka yang tidak mengerjakan suruhan Allah akan dicampak ke dalam api neraka yang sangat pedih siksanya.

           Kalau seorang ibu atau bapa sayang kepada anaknya apakah dia akan membiarkan anaknya itu membesar tanpa mengenali Allah dan Rasul, apakah seorang ibu atau bapa berasa gembira apabila melihat anaknya tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak mahu mengeluarkan zakat, dan lebih suka hidup cara Yahudi dengan mengamalkan budaya-budaya karut dan fahaman-fahaman karut.

           Seorang ibu dan bapa juga dikatakan pengkhianat kalau hanya mereka sahaja yang mengamalkan agama tanpa mempedulikan tentang anak-anak mereka,padahal mereka itu adalah penentu kemanakah mereka hendak membawa anak itu, sama ada dekat kepada Allah atau dekat kepada neraka. Kalau ibu bapa bergembira anak-anaknya mendapat pekerjaan yang baik dan gaji yang besar dan mereka tidak mendidik anak-anak itu dengan agama Allah, dan apabila mereka (ibubapa) itu telah tua dan telah sedar mati itu terlalu dekat maka mereka tidak pedulikan anak uang mereka banggakan dahulu, sebaliknya mereka memulakan solat dan mengingati Allah, jadi dalam hal ini yang dikatakan pengkhianat ialah kedua ibu bapa kalau hendak berdakwah dengan anak rasa malu sebab diawal-awal lagi dia tidak diajar mengenali Allah dan Rasul. Ini bukanlah dikatakan sayangnya ibu bapa pada anak-anak mereka.

           Cuba kita lihat pula bagaimana Rasulullah SAW menyayangi umat beliau, baginda berdakwah demi untuk umat beliau suapaya smeua umat beliau memasuki syurga Allah, walaupun beliau cedera dalam menyampaikan dakwah tetapi beliau tetap berjuang hingga ke akhir hayat untuk mendekatkan umat beliau kepada Allah SWT.

          Rasulullah SAW telah mengajar segala yang perlu kepada kita supaya kita mengikut cara beliau dalam semua bidang, ini bertujuan supaya kita mendapat kejayaan didunia dan akhirat, kita juga harus mempelajari semua bidang yang perlu, sama ada bidang sains, bidang perniagaan atau bidang-bidang lain dengan syarat ianya tidak lari dari ajaran Islam.

           Cinta Rasulullah SAW pada kita adalah yang unggul dan tidak berbelah bagi, sebab itu Rasulullah SAW menyuruh kita membuat perkara-perkara yang dituntut, dan Rasulullah SAW sangat sayang pada kita dan baginda tidak sampai hati untuk melihat umat baginda berada dalam penyiksaan Allah di akhirat nanti. Sebab itulah walau pun baginda telah tahu ajal baginda telah dekat namun baginda menggunakan masa yang ada sedikit itu dengan memberi amaran dan nasihat terakhir, inilah yang dikatakan sayang dan sejati.

           Saudara-saudariku, hidup kita ini tidak akan kekal, satu hari nanti kita juga akan mati, oleh itu ingatlah segala pesanan junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan dekatkanlah diri kita kepada Allah, janganlah kita tangguh-tangguh lagi kerana mati itu terlalu dekat pada kita dan ia adalah perkara yang PASTI akan berlaku.

           Ya Allah peliharalah kami semua dari godaan dunia, peliharalah kami dari dunia yang penuh dengan muslihat, pimpinlah kami ke jalan yang lurus ke jalan yang Engkau redhai. Amin.

Terima kasih atas meluangkan masa membaca ini..

Ahad, 9 Oktober 2011

Kuasa dan keajaiban bersedekah



Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita. Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Beriman dengannya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu meringankan beban seseorang dan menjauhkan diri kita daripada panas api neraka. 

Perkara-perkara untuk mendapat kesempurnaan dalam amalan sedekah
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah. Bukan disebabkan nama dan balasan dikemudian hari. Bagi memastikan sedekah kita tidak sia-sia, Islam mengajar umatnya menyumbang dan bersedekah dengan menepati erti sedekah yang sebenar. Maka, beberapa perkara perlu diambil kira demi kesempurnaan dalam amalan bersedekah.

Barang yang elok dan baik
Antaranya, barang yang hendak disedekahkan itu mesti baik, elok dan tidak malu untuk dipakai. Jika kita sendiri tidak tergamak memakainya, tidak perlulah barang itu disedekahkan. Sedekahlah dengan barang yang disukai penerima. Allah melarang kita bersedekah dengan barang yang tidak elok kerana sedekah adalah ibadat dan sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah. Buktinya telah Allah nyatakan dalam Surah Al- Baqarah ayat 267.

Hasil yang halal
Semua perkara atau wang yang kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan mesti terdiri daripada hasil yang halal. Kerana, pemberian yang halal akan menggugurkan dosa dan mendatangkan pahala. Selain itu juga akan dijauhkan dari bala. Seseorang yang bersedekah dengan harta yang halal juga akan dijauhkan daripada api neraka dan akan dimasukkan ke dalam syurga. Sekiranya seseorang bersedekah dengan harta yang haram, dia tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali azab kerana memberi sesuatu yang haram kepada orang lain. Terdapat sebuah hadith mengatakan bahawa di dalam neraka Jahanam terdapat sebuah rumah yang bernama ‘Baitul Huzni’ yang disediakan Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram. 

Memberi sedekah barang yang disayangi
Kemudian, adalah sunat bagi kita untuk memberi sedekah barang yang menjadi kesayangan dan kesukaan kita tidak kira banyak atau sedikit. Allah juga telah membuktikan perkara ini dalam Surah Al-Imran ayat 92 bermaksud, “Kamu sekali-kali tidak akan mecapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa juga yang kamu dermakan maka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”

Sedekah dengan niat yang ikhlas
Sedekah dengan seikhlas hati, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan akan merosakkan niat bersedekah. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 bermaksud, Allah telah membandingkan orang yang mengungkit dalam amalan sedekahnya seperti “Batu licin yang terdapat tanah diatasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat. Setelah hujan reda, batu itu sudah licin dan tiada lagi tanah di atasnya. Demikian juga dengan orang yang kafir dan riak. Mereka gagal mendapat satu ganjaran pahala daripada apa yang telah diusahakan. Dan ingatlah bahawa Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum kafir.”

Sedekah yang tidak dihebahkan
Sedekah yang tidak dihebahkan adalah lebih afdal. Ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Hal seperti ini akan membuatkan keikhlasan itu sangat dekat dengan kita. Maka, kita akan jauh dari perasaan riak yang boleh merosakkan amalan sedekah. Tidak berguna jika niat bersedekah itu untuk mendapat pujian daripada pihak lain. Allah juga telah memaklumkan perkara ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud, “Jika menampakkan sedekah kamu ini sangat baik, tetapi jika kamu merahsiakannya dan memberikan kepada orang fakir, maka itu lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu dari kejahatan sendiri, Allah menyedari setiap apa yang kamu kerjakan.”

Sedekah untuk menyucikan diri dan harta
Surah Al-Taubah ayat 103 membuktikan bahawa, “Ambil sedekah daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka, dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa kau itu menjadi ketenangan hati mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ayat ini mewakili dua perkara utama iaitu barang yang harus disedekahkan dan sebab untuk bersedekah. Sedekah bertujuan membersihkan jiwa dan harta yang dimiliki.”
Sedekah bukan sekadar memberi, amalan ini mempunyai banyak manfaat yang perlu kita ketahui. Manfaat sedekah bukan hanya dirasakan oleh penerima atau pihak yang kita beri sedekah, namun manfaat sedekah itu juga mampu kita rasakannya. Amalan sedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana kita mampu memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada pihak yang memerlukan. Lebih-lebih lagi kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan. Banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari amalan bersedekah ini. 

Manfaat sedekah
Antaranya ialah, mengasingkan sebahagian kecil daripada harta kita untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Sekiranya beban itu semakin ringan, kita turut merasai kebahagiannya. Manfaat bukan kerana wang dan harta yang dikeluarkan semasa bersedekah, Adakah anda memikirkan bahawa wang yang dikeluarkan itu mendatangkan manfaat? Sudah pasti bukan kerana wang yang dikeluarkan. Kita harus memikirkannya untuk jangka masa yang panjang. 

Sedekah mampu memadam dosa
Pada masa hadapan kita bakal diberikan kebaikan oleh Allah dan kita akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Selain itu, kita juga akan mengurangi dosa lama yang telah kita lakukan. Menurut Hadis Riwayat At-Tirmizi, “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” Senyum juga adalah sedekah. Hanya melemparkan senyuman sudah mendatangkan pahala buat kita. Tidak perlu mengeluarkan wang dan juga peluh. Jadi, mari kita bersedekah dan memadam dosa silam! 

Sedekah mampu menghindar dari kematian Suul Khatimah
Di samping itu, amalan bersedekah juga mampu menghindarkan kita dari kematian yang Suul Khatimah. Suul Khatimah bermaksud kematian dalam keadaan yang tidak beriman. Sebagai contoh, seorang yang sangat leka dengan urusan dunia sehingga tidak bersedia untuk mati. Selain itu, orang itu juga tidak bersedekah kerana terlalu cintakan hartanya lebih dari cintanya kepada Allah SWT. Terdapat banyak hadith yang berkata, “Sesungguhnya sedekah itu akan memadamkan amarah Allah dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk.” 

Sedekah mampu menghindarkan bala
Menurut beberapa hadith yang lain, memulakan hari kita dengan bersedekah akan menghindarkan kejadian buruk dan tidak diingini. Jika kita tidak mempunyai harta, doa untuk kebahagiaan peminta sedekah juga dikira. Boleh kita katakan bahawa sedekah itu mampu menolak bencana dan bala. Kerana kita telah bersedekah pada hari itu, Allah akan melindungi kita sepanjang hari kita besedekah. Adakah kita mahu diberkati sepanjang hari? Sudah pasti! Sedekah adalah pembuka amalan yang suci sepanjang hari.

Sedekah mampu menyucikan jiwa
Sedekah juga mampu menyucikan jiwa dan harta kita. Hati orang yang bersedekah akan tenang dan aman. Selain itu jiwanya akan damai, bersih dan terhindar dari perasaan yang negatif. Semua hartanya juga akan diberkati Allah SWT. Sekiranya datang seorang peminta sedekah kepada kita, jangan dimarahi dan ditengking golongan itu. Jangan berkelakuan jahat dengannya walaupun sedikit. Kerana dosa menengking dan menyakiti hatinya adalah lebih besar daripada pahala jika bersedekah dengan separuh harta yang dimiliki. Jangan pula kita menolak orang yang mula-mula mendatangi kita, kerana kadang-kadang mereka itu bukan manusia. Mereka mungkin jin yang diamanahkan Allah untuk datang dan menguji kita dengan harta yang kita miliki. Jika kita menengking, kelak kita akan ditengking oleh Malaikat semasa hari Qiamat. 

Sedekah mampu memanjangkan umur
Percayakah anda bahawa sedekah akan memanjangkan umur kita? Kerana Allah telah melanjutkan usia kerana amalan sedekah yang sering kita lakukan itu. Allah sendiri telah mengatakan kepada Rasulullah bahawa sedekah memang akan memanjangkan umur dan juga mampu menunda kematian seseorang.

Isnin, 3 Oktober 2011

Cara Cara Menggunakan Masa Dengan Baik.



Penggunaan masa yang efektif adalah satu perkara yang selalu dibincangkan. Ramai orang menyatakan bahawa masa yang dipunyai mereka tidak mencukupi. Justeru itu selalunya mereka gagal dalam banayak perkara. Sebenarnya ini ini merupakan alasan semata-mata. Sebenarnya manusia diperuntukkan masa sebanyak 24 jam sehari semalam, samada manusia itu berjaya atau tidak berjaya. Kita lihat tokoh-tokoh di dalam bidang masing-masing. Semuanya adalah manusia biasa yang juga diperuntukkan masa yang sama dengan kita.
 

Keluhan-keluhan yang tidak membina itu sebenarnya adalah alasan untuk kita masih berada pada tahap yang lama dan tidak bertindak. Oleh sebab itu alasan inilah yang menyebabkan kita berada dikepompong tersebut dan sukar bagi kita meloloskan diri dari belenggunya. Di dalam bab ini kita akan membincangkan bagaimanakah keadaannya untuk mengurus masa secara berkualiti. Pengurusan masa yang akan dibincangkan nanti akan membawa kita supaya berfikir tentang perkara-perkara yang selalunya kita anggap ianya adalah perkara remeh. Pengurusan masa yang baik ialah apabila kita dapat mendisiplinkan diri kita dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran. Disiplin yang dimaksudkan dii sini adalah kita mesti melakukan jadual harian. jadual itu termasuk:

1. Masa membaca buku atau mengulangkaji

2. Waktu bermain atau beriadah

3. Waktu menonton televisyen

4. Waktu menyelesaikan kerja sekolah

5. Waktu membantu ibu dan ayah

6. Waktu menziarahi rumah kawan
 

Semua aktiviti yang disebutkan ini perlu dijadualkan dan dilibatkan berapa lamakah aktiviti atau perlakuan itu berlaku. Ianya perlukan disiplin yang jitu dari kita. Perkara ini bukan peraka remeh. Untuk mendisiplinkan diri kita maka sewajarnya kita mencatat di atas kertas dan ianya mesti dipatuhi. 
Selalunya kita dengar keluhan di mana kita belajar 5 jam sehari tetapi merasa seolah-olah kita tidak tidak mendapat apa-apa daripada pembelajaran tersebut. Berbeza kadang-kadang kita mendengar ada individu yang hanya belajar 2-3 jam sehari tetapi mendapat keputusan tang cemerlang. Perbezaan antara individu ini adalah hasil kualiti masa yang digunakan. Oleh sebab itu seharusnya kita memberi perharian kepada kedua-dua perkara ini iaitu kuantiti masa dan kualiti masa yang kita gunakan.

Terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan prinsip asas pengurusan masa.

1. Mengubah tabiat lama yang negatif
 

Tabiat lama selalu juga disebut sebagai habit. Tabiat yang negatif mesti dibuang dari ianya berada dalam diri. Jika selama ini kita merupakan seorang yang selalu menangguhkan kerja maka kita perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini. Misalnya sebagai pelajar, tugas yang diberi oleh guru perlu kita siapkan secepat mungkin. Selalunya kita menangguhkan tugasan dan menyiapkan secara `minit terakhir' kadang-kadnag hingga larut malam, yang terlebih teruk lagi apabila kita meniru kawan tanpa mendapat apa-apa pengajaran langsung. Maka tabiat seumpama ini perlu diubah. Tabiat ini adalah tabiat negatif yang begitu dominan dalam diri pelajar.
 

Oleh sebab itu kita mesti mengubah tabiat ini supaya kita lebih awal menyiapkan tugas-tugas agar pada waktu yang lain kita dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada aktiviti mentelaah pelajaran. Kita belajar semestinya lebih awal bukan melaksanakannya pada saat-saat akhir.

Kita lihat kebanyakan orang mengatakan perasaan tertekan bila mendengar tentang peperiksaan. Ini semua sebenarnya hasil daripada tidak membuat persediaan pada peringkat awal. Kadang-kadang ini memberi kesan yanga lebih teruk jika kita merasa bahawa kita sudah tuada masa untuk memberi tumpuan pada pelajaran. Tabiat ini perlu diatasi untuk berjaya.

Tabiat yang baik ialah apabila kita sentiasa melaksanakan tugas-tugas sekolah, mengulangkaji pelajaran dan bertindak pada saat yang awal. Elakkan dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan melakukan pada "minit terkahir".

2. Komunikasi

Komunikasi adalah faktor yang amat penting dalam pengurusan masa. Komunikasi juga memberikan implikasi yang besar jika kita tidak dapat menggunakan dengan berkesan dan terbaik.

Kita sering membazirkan masa kita, kerana kita sering berkomunikasi dengan cara yang tidak baik. Sebagai contoh: Semasa guru tiada di dalam kelas, kita sering berbual-bual kosong dengan kawan-kawan tentang hiburan, dan perkara-perkara yang sia-sia yang mana ianya tiada kaitan langsung dengan pelajaran. Semasa ketiadaan guru juga kita sering bercerita tentang hal orang lain yang tidak memberi faedah dalam pelajaran. Ini sebenarnya satu pembaziran masa yang amat ketara dan begitu merugikan. Ramai pelajar tidak mengetahui dan menganggap ini satu perkara yang ringan. Jika diterliti kita banyak membuang masa di dalam sehari tanpa mengaitkan perkara yang kita bualkan itu dengan pelajaran. Kita sepatutunya melakukan tugas-tugas pada masa terluang agar bila pulang ke rumah dapat kita membuat kerja-kerja yang lain atau mengulangkaji pelajaran. Ini sebenarnya tidak memberi tekanan dan bebanan di rumah nanti.

Ramai antara kita mengatakan masa tidak cukup.Sesungguhnya masa mengcukupi tetapi cara kita menguruskan masa yang menyebabkan kita rasa masa tidak mencukupi. Sebagai contoh lagi, semasa berada di dalam bas atau tempat menunggu bas kita sering marasa bosan. Kerana apa? kerana 30 minit misalnya adalah begitu lama untuk kita sampai ke rumah atau ke tempat yang dituju.Sepatutnya semasa di dalam bas atau tempat menunggu bas, kita menggunakan peluang ini untuk kita mengingat fakta atau apa yang diajar oleh guru. Pada masa ini juga kita boleh membaca nota-nota kecil agar masa di dalam bas dan sebagainya digunakan dengan berkesan dan terbaik.

Darii segi komunikasi perkara yang penting juga adalah atentang perasaan malu. Ramai dikalangan kita yang bijak berkomunikasi dengan akawan-kawan tentang hal-hal yang tidak berlaitan dengan hal pelajaran. Namun kelemahan komunikasi kita adalah kerana jarang sekali kita menggunakan kelebihan komunukasi ini untuk bertanya kepada guru-guru atau rakan tentang topik yang tidak diketahui. Kenapa ini berlaku? Sebenarnya terdapat dua perkara yang berlaku iaitu wujudnya komunikasi interpersonal dan komunikasi intrapersonal (komunikasi dalam diri).

Sebagai contoh apabila kita ingin bertanya guru, sebenarnya ini adalah satu perkara yang baik. masalah yang wujud adalah apabila komunikasi intrapersonal negatif. Komunikasi intrapersonal hadir dalam diri. Komunikasi intrapersonal seolah-olah mengatakan bahawa soalan ini soalan cerdik sungguh.. Jika kita bertanya, mungkin kawan-kawan menganggap kita pelajar lemah. Mungkin juga menyebabkan orang lain memandang serong kepada kita. Ini yang membuatkan halangan dalam membantu kita bermotivasi untuk belajar. Maka penggunaan komunikasi intrapersonal yang negatif ini perlu dilawan dan ditentang.

Oleh itu gunakan komunikasi interpersonal (bertanya guru) dengan sebaik mungkin. Dengan membuangkan komunikasi intrapersonal yang negatif itu maka akan wujudlah keyakinan dalam diri.

3. Penumpuan

Selalunya kita akan merasa bosan dan jemu apabila perkara tersebut berkaitan dengan pelajaran. Apabila guru dan rakan-rakan bercakap tentang pelajaran kita sememangnya jarang memberi tumpuan.Tetapi apabila kawan-kawan menceritakan tentang perkara yang kita minati seperti hiburan dan sebagainya, semuanya itu kita dapat berikan tumpuan walaupun kita dalam keletihan.Oleh sebab itu ubah suasana supaya kita dapat memberikan konsentrasi pada pelajaran. Jika guru sedang memberikan pengajaran, berikan tumpuan. Gangguan yang lain perlu dielakkan.

4. Rehat

Manusia perlu rehat di dalam setiap perkara. Rehat adalah faktor penting dan sering dikaitkan dengan tidur. Setiap manusia memerlukan rehat yang cukup.

Kita sering mrenganggap bahawa tidur yang cukup perlu untuk pembelajaran yang berkesan. Dalam hal ini terdapat banyak definasi tentang berapa jumlah masa untuk tidur yang baik dalam setiap hari. Sebenarnya apabila kita berbicara tentang tidur maka kita harus faham bahawa tidur juga memerlukan kualiti. Maksudnya kita tidur atau berehat adalah apabila kita bebar-benar terasa bahawa kita perlu tidur. Kadang-kadang kita lihat ramai orang mengatakan bahawa mereka perlu tidur pada petang selama 3 jam dan waktu malam selama 8 jam. Ini adalah kaedah yang tidak begitu baik. Sepatutnya kita mesti menguruskan waktu tidur dengan berkesan.

Sebagai contoh; kita perlu berehat selama 15 minit pada waktu tengahari bertujuan menyegarkan kembali daripada keletihan. Setelah itu kita akan lebih bertenaga dan segar. Pada malamnya pula kita tidur umpamanya pada 11.30 malam dan bangun pada awal pagi dan setelah kita menunaikan solat subuh, maka kita mempunyai masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk membaca buku-buku pelajaran. Kadang-kadang kebiasaannya pada waktu senggang seumpama ini (selesai solat subuh) sebelum bersiap-siap pada waktu pagi selalunya kita tidak menggunakan waktu ini untuk belajar, tapi kita melakukan perkara yang sia-sia. Ramai pakar mengatakan bahawa belajar waktu pagi baik untuk mentelaah pelajaran mengingat. Pengurusan waktu rehat dengan tidur adalah penting untuk kita belajar dengan lebih berkesan.

Jelaslah kepada kita sekarang bahawa prinsip asas kepada pengurusan masa perlu diketahui oleh kita. Dengan yang demikian maka kita akan lebih bijak untuk mendisiplinkan diri dan membuat jadual waktu untuk aktiviti Pembelajaran.

Berdasarkan kepada perbincangan tadi maka dapat disimpulkan di sini bahawa pengurusan masa yang baik adalah penggunaan masa yang berkualiti. Kualiti masa dicapai dengan adanya prinsip asas bagi kita menguruskan masa. Justeru itu aktiviti pembelajaran akan menjadi lebih berkesan dan penuh bermakna.



Artikel asal dipetik daripada :-
Membina Kendiri Unggul Berkarisma
Amer Shakir Zainol
Kaunselor UiTM Segamat